Tak Mati Besi Tembusi Otak

KOLKATA (India) – Seorang lelaki mengejutkan doktor apabila masih terselamat selepas sebatang besi sepanjang satu meter menembusi kepalanya ketika terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Mohammad Tarique, 24, dibawa ke sebuah hospital di bandar ini selepas kenderaan yang dinaiki bersama rakan-rakannya terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan.

Doktor yang merawat Mohammad terkejut selepas mendapati lelaki itu masih hidup walaupun sebatang besi sepanjang satu meter menembusi kepalanya.

Ujian X-ray kemudian mendapati besi itu menembusi bahagian depan tengkorak, otak dan belakang kepala mangsa.

Apabila melihat keadaan Mohammad, doktor dan ahli keluarganya menyangka lelaki itu mungkin tidak dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan selama dua jam setengah, doktor akhirnya berjaya mengeluarkan besi berkenaan daripada kepala Mohammad.

“Kes ini sangat rumit dan sukar. Cabaran paling sukar adalah mengelak pendarahan berlebihan di dalam otak ketika pembedahan.

“Sangat menakjubkan apabila pembedahan ini berjaya dan pesakit dapat diselamatkan. Sangat jarang pesakit dalam keadaan seperti ini dapat diselamatkan,” kata Dr Binod Singhania. – Daily Mail/myMetro Online

Loading...