Tahan Sakit 20 Minit, Tangan Tersepit Dalam Mesin Rumput

Seorang lelaki warga Myanmar terpaksa menahan sakit lebih 20 minit akibat tangannya tersepit dalam mesin memperoses rumput di Bukit Mertajam, Pulau Pinang petang semalam.

Kejadian berlaku pukul 3.35 petang di Taman Perwira, Permatang Tinggi, menurut laporan Harian Metro.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam Wan Ruslan Wan Yahaya berkata, saat malang terjadi ketika mangsa sedang memasukkan rumput ke dalam mesin berkenaan untuk menghasilkan makanan lembu.

Tangan mangsa tiba-tiba tersepit pada mesin berkenaan sebelum rakannya membuat panggilan kecemasan.

“Kami terpaksa menghubungi ambulans bagi meminta bantuan pegawai perubatan memberikan suntikan bius bagi mengurangkan rasa sakit dialami lelaki itu.

“Anggota terbabit kemudiannya terpaksa meleraikan mesin berkenaan untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit,” kata Wan Ruslan.

Lelaki itu kemudian dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan kecemasan. – MYNEWSHUB.CC

Loading...