Syarikat Pembinaan Didenda RM15,000 Biak Nyamuk Aedes

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pembinaan yang pernah didenda RM8,500 tahun lepas kerana membiakkan nyamuk Aedes, hari ini didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan sama.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Syarikat Kenwingston Sdn Bhd, yang diwakili pengarah keselamatannya Muhammad Haidhar Mohd Hazlan ,31, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan waran levi dikeluarkan sekiranya syarikat itu gagal membayar denda. Syarikat itu membayar denda.

Syarikat itu dituduh melakukan tindakan yang boleh atau mungkin menimbulkan sesuatu keadaan yang boleh membiakkan sejenis serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk Aedes Aegypti yang berlaku di lopak air di kawasan lingkungan premis tapak bina itu.

Kesalahan itu dilakukan di tapak bina Lot 67619 Jalan Metro Perdana Barat, Taman Metropolitan Kepong di sini pukul 11.15 pagi, 13 Mac lepas mengikut Seksyen 13(1) dan dibaca bersama Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan dihukum di bawah Seksyen 23(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Kepong, Nurhuda Mohamad Ramli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kepada syarikat berkenaan kerana ini kesalahan kali kedua selepas pertama kali disabitkan kesalahan sama pada November tahun lepas.

“Pada 23 Nov, 2017 syarikat ini didenda RM8,500 atas kesalahan yang sama.

Tapak pembinaan ini telah diarah tutup dari 13 Mac hingga 26 Mac lepas bagi kerja-kerja pembersihan tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes,” katanya sambil menambah supaya hukuman itu dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada pengusaha tapak pembinaan lain akan kepentingan kesihatan orang awam.

Muhammad Haidhar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan ketika itu musim hujan.

“Semasa pihak berkuasa melakukan pemeriksaan kami telah memberi kerjasama yang baik,” katanya.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Kesihatan Kepong melakukan pemeriksaan pembiakan serangga pembawa penyakit di tapak pembinaan berkenaan.

Hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan larva nyamuk jenis Aedes di lopak air di premis berkenaan. – BERNAMA

Loading...