Syabu Ratusan Kilogram Dirampas Di Taiping

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas syabu dianggarkan ratusan kilogram dalam sebuah lori kontena ketika satu operasi di Hentian Taiping, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Ipoh semalam.

Kenderaan berat itu ditahan ketika melalui sekatan jalan di hentian berkenaan dengan bantuan pasukan polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) jam 4 petang.

Menurut sumber, lori kontena itu dalam perjalanan menuju ke utara dan diekori sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman susulan dipercayai membawa muatan dadah jenis syabu.

“Kira-kira jam 3.40 petang, Unit EMPV Zon Utara diminta bantuan untuk menahan sebuah lori kontena dan seterusnya membuat penutupan jalan di Kilometer 212, Hentian Taiping arah utara.

“Sebaik lori kontena itu ditahan, sepasukan pegawai dan anggota JSJN Bukit Aman kemudian melakukan penggeledahan dalam kontena itu,” katanya.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan polis menemui beberapa kotak di dalam kontena itu yang didapati mengandungi dadah dipercayai syabu yang dianggarkan seberat 500 kilogram.

“Lori kontena itu kemudian diiringi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kes berkenaan namun memaklumkan maklumat lanjut dan sidang media berhubung rampasan itu akan dibuat Bukit Aman.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi pula memaklumkan satu sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah itu akan dibuat di Bukit Aman esok. – myMetro online

Loading...