Suspek Utama Kes Bunuh Di Stesen Minyak Direman

JOHOR BAHRU – Polis menjangka proses reman terhadap seorang lelaki yang didakwa sebagai dalang kes pembunuhan kejam di Taman Pelangi di sini, akhir tahun lepas, akan dilakukan Ahad ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata ini berikutan suspek berumur lingkungan 40 tahun itu kini dalam perjalanan balik ke Malaysia, selepas berjaya ditangkap pihak berkuasa Thailand pada penghujung Mei lepas.

“Suspek dijadualkan tiba di Johor Bahru petang ini sebelum semua proses untuk membawanya ke mahkamah dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata empat hari lepas (1 Julai), dua lagi suspek yang turut terlibat dalam kes itu telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, menjadikan jumlah kesemua suspek yang ditahan adalah 39 orang.

Kedua-duanya yang masing-masing berumur 54 dan 58 tahun adalah anggota kumpulan jenayah terancang ‘Jin Jee Tong’ serta dituduh menerusi Seksyen 130V Kanun Keseksaan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Dalam kejadian pada 17 Dis 2017 itu, mangsa yang juga seorang lelaki berusia 44 tahun mati selepas ditikam serta dilanggar dan digilis sebuah kereta jenis BMW oleh sekumpulan empat lelaki.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an, dipercayai isterinya, sedang mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak sebelum tiba-tiba didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka, sehingga berlakunya pergelutan. – BERNAMA

Loading...