Suspek Liwat Pelajar Tahfiz Didakwa 38 Pertuduhan

KUANTAN – Seorang lelaki yang ditahan kerana dipercayai meliwat enam pelajar di sebuah pusat tahfiz akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok dengan 38 pertuduhan jenayah seksual.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Othman Nanyan berkata suspek yang berumur 41 tahun itu bakal berhadapan 29 pertuduhan mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan jenayah luar tabii dan sembilan pertuduhan menerusi Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

“Kedua-dua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Lelaki itu yang juga sukarelawan di pusat tahfiz berkenaan ditahan pada Isnin lepas (12 Mac) dan direman hingga 26 Mac depan setelah menerima laporan daripada pihak tahfiz terlibat.

Berdasarkan siasatan, 10 pelajar pusat tahfiz yang berusia 14 hingga 17 tahun itu telah menjadi mangsa tertuduh sejak Julai tahun lepas hingga Februari lalu.

Enam daripada mereka mendakwa diliwat lebih daripada sekali, manakala empat lagi adalah mangsa serangan seksual dengan diraba pada bahagian kemaluan. – BERNAMA