Suspek Kes Pukul Juruwang Diburu Polis

GEORGETOWN – Suspek lelaki yang menampar belakang kepala juruwang wanita di sebuah kedai serbaneka di Bayan Lepas semalam terus diburu…

GEORGETOWN – Suspek lelaki yang menampar belakang kepala juruwang wanita di sebuah kedai serbaneka di Bayan Lepas semalam terus diburu polis dan dipercayai melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, berkata polis kini sedang memburu suspek yang dipercayai menyembunyikan diri selepas perbuatannya itu viral di media sosial.

“Kita sudah pergi ke rumah suspek, namun dia dipercayai sudah melarikan diri dan polis kini sedang memburunya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa, Nur Athirah Aziz, 29, pada mulanya didatangi seorang pelanggan lelaki yang mahu membeli tiga paket minyak masak.

Kata mangsa, lelaki itu berang kerana beliau menegur dan memberitahu yang dia hanya boleh membeli dua paket minyak masak kuantiti satu kilogram (kg), sekali gus membuatkan lelaki terbabit berang dan menampar belakang kepalanya.

“Pada mulanya, lelaki terbabit menengking dan memaki saya dengan menggunakan bahasa kesat dan saya yang geram turut menengking balik supaya cakap dengan elok.

“Selepas itu, dia datang ke meja kaunter dan saya sekali lagi menegurnya namun lelaki terbabit yang berang terus menampar belakang kepala saya,” katanya yang kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Menurut Nur Atirah, beliau yang tidak tahan diperlakukan begitu dan begitu geram turut memaki lelaki terbabit sebelum mengambil telefon bimbit untuk menghubungi polis.

“Lelaki berkenaan menyuruh saya menghubungi polis dan memberitahu yang dia tidak takut dan terus menarik dua rak barang dalam kedai hingga terjatuh.

“Dia kemudian terus beredar dan beberapa pelanggan yang berada di luar kedai membantu saya mengangkat barang yang terjatuh,” katanya. – BH Online

Loading...