Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Johor, Pahang Alami Cuaca...

PETALING JAYA – Penduduk di beberapa daerah di Pahang dan Johor dinasihatkan supaya...

Nenek Leka Berjudi Kena...

BUKIT MERTAJAM - Lapan wanita, kebanyakan mereka warga emas ditahan di Pasar Awam...

Kuch Kuch Hota Hei...

ALAHAI... 'bersemut' kami tengok kebahagiaan pasangan selebriti Aeril Zafril dan Wawa Zainal yang...

Perintah Berkurung Di Esszone...

KOTA KINABALU - Fasa ke-26 perintah berkurung di kawasan perairan di Zon Selamat...

Sultan Selangor Sokong Cadangan Naikkan Had Umur Kahwin

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di negeri itu, daripada 16 kepada 18 tahun.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda memandang serius kes-kes melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia terlalu muda, terutama kanak-kanak perempuan, kerana bimbang dengan risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut serta kesannya kepada masyarakat kelak.

“Oleh itu Beta telah menitahkan pihak MAIS dan JAIS untuk menyemak semula undang-undang dalam kalangan orang Islam yang sedia ada di negeri Selangor dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat perasmian itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Selain itu, baginda bertitah, beberapa peruntukan lain juga perlu dipinda bagi menambahbaik prosedur dan proses kebenaran perkahwinan di bawah umur di Mahkamah Syariah, dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa serta pihak berkenaan.

“Antara syarat-syarat tersebut adalah seperti mendapatkan rekod aspek mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak akan mendatangkan kemudaratan.

“Untuk tujuan itu beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dicadangkan untuk dibuat pindaan. Beta berharap kedua-dua cadangan pindaan undang-undang tersebut dapat dibentangkan dalam persidangan DUN pada kali ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin dalam pada itu berkenan dengan kejayaan kerajaan Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memperoleh persetujuan mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Sdn Bhd (SPLASH) untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putarajaya.

Titah baginda, dengan berakhirnya rundingan pengambilalihan SPLASH pada 3 Ogos lalu, baginda difahamkan kerajaan negeri melalui Air Selangor telah mengemukakan surat tawaran pengambilalihan tersebut kepada wakil pemegang saham SPLASH dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM2.55 bilion setelah ditolak diskaun sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai aset bersih SPLASH pada 30 Jun 2018.

“Pengambilalihan yang tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan dari dana kerajaan negeri Selangor ini telah distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang. Beta berkenan apabila Air Selangor dapat beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi yang munasabah di mana ianya sekali gus dapat memastikan kadar tarif air yang tidak membebankan rakyat di negeri Beta ini.

“Penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor akan akhirnya dimuktamadkan apabila Air Selangor muncul sebagai syarikat tunggal yang memproses, merawat dan mengagihkan air terawat kepada seluruh pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” titah baginda.


Sultan Sharafuddin turut melihat persidangan DUN kali ini telah melakar sejarah baharu kerana menyaksikan bilangan ADUN baharu yang ramai, justeru baginda berharap semua wakil rakyat di Selangor akan terus menjalankan amanah dan kepercayaan rakyat yang telah memilih mereka.

Baginda berkenaan agar semua wakil rakyat dapat bekerjasama dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) yang diketuai oleh Menteri Besar Amirudin Shari.

“Beta turut dimaklumkan pertumbuhan ekonomi negeri Selangor dilihat terus kukuh pada adar 7.1 peratus pada 2017 berbanding 4.8 peratus pada 2016, dan negeri Beta turut merekodkan prestasi melebihi paras nasional iaitu pada kadar 5.9 peratus. Beta turut berasa bangga Selangor merupakan penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar kepada KDNK Malaysia pada 2017 iaitu sebanyak 23 peratus.

“Dengan peningkatan KDNK ini, Beta percaya Selangor menjadi tumpuan utama oleh pelabur-pelabur domestik dan asing untuk terus melabur di negeri ini. Bagi tempoh Januari sehingga Mac 2018, negeri Beta telah mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM812. 7 juta, 35 projek perkilangan telah diluluskan, yang mana 53 peratus merupakan pelaburan tempatan, manakala 47 peratus daripadanya adalah pelaburan asing,” titah baginda.

Pada masa sama, titah Sultan Sharafuddin, baginda berkenan apabila Selangor telah menjadi pilihan pelabur bagi tahun 2017 dengan catatan jumlah nilai pelaburan tertinggi daripada Jepun iaitu sebanyak RM533 juta, diikuti Singapura (RM439 juta) dan China (RM282 juta).

Statistik ini, menurut baginda, membuktikan para pelabur selesa dan yakin dengan dasar pentadbiran negeri untuk mereka terus melabur dan membuat penambahan pelaburan di Selangor.

“Beta juga menyeru supaya Selangor bersedia menghadapi peralihan kepada Industri 4.0 yang sedang berkembang pesat di peringkat global. Beta percaya peralihan ini dapat mengurangkan kos dan kebergantungan terhadap penggunaan tenaga buruh seterusnya dapat meningkatkan pendapatan Selangor,” titah baginda.

Mengakhiri titahnya, Sultan Sharafuddin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi keselamatan yang telah bekerja keras bagi memastikan Pilihan Raya Umum ke-14 lepas dapat berjalan dengan lancar, aman dan tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini. – BERNAMA

Kategori