Sultan Perak Berangkat Ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di sini, malam tadi.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkipli.

Pada majlis itu, kira-kira 2,000 tetamu menikmati pelbagai hidangan termasuklah ‘Yee Sang’ selain menyaksikan beberapa persembahan tradisi masyarakat Cina.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara juga berkenan menyampaikan angpau kepada 58 orang anak yatim pelbagai kaum dari Lembah Kinta.

Terdahulu ketika berucap, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Datuk Mah Hang Soon berkata semua perayaan termasuk Tahun Baharu Cina diraikan dengan penuh rasa muhibah dan meriah kerana Malaysia mempunyai masyarakat pelbagai kaum.

“Inilah keunikan negara kita…justeru, kita seharusnya bersyukur di atas nikmat yang dimiliki ini,” katanya menambah slogan berbudi bahasa bukan sekadar disebut dan dilaungkan malah perlu lebih daripada itu.

“Marilah bertekad dan berkongsi azam untuk terus perbaharui diri dan melangkah ke hadapan dengan penuh semangat untuk terus memperkukuhkan perpaduan yang menjadi lambang kekuatan dan kejayaan demi kelangsungan kemajuan masa depan negara,” katanya. – BERNAMA

Loading...