Sultan Johor Lawat Muhyiddin Di Singapura

KUALA LUMPUR – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menziarahi Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menerima rawatan di hospital pakar di Singapura.

Baginda meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar mengenai keadaan Muhyiddin yang menjalani pembedahan pada 12 Julai lepas bagi membuang ketumbuhan di pankreas, menurut catatan di laman Facebook baginda.

Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim bertitah menasihatkan Muhyiddin supaya tidak bimbang atau tertekan, dan sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap rawatan yang diterima.

“Saya mendoakan agar Tan Sri Muhyiddin cepat sembuh dan kembali menjalankan tugas kerana khidmatnya diperlukan rakyat dan negara,” titah baginda yang berada di Singapura untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan akibat kecederaan lama ketika bermain sukan polo.

Baginda bertitah menasihatkan semua pihak supaya mengetepikan apa jua fahaman politik dan bersama-sama mendoakan kesihatan Muhyiddin.

Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Muhyiddin bercuti susulan pembedahan itu bagi menjalani rawatan susulan dan dijangka kembali bertugas dalam tempoh sebulan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjalankan tugas Menteri Dalam Negeri semasa ketiadaan Muhyiddin. – BERNAMA

Loading...