Suami Pemilik Kedai Runcit Ditetak Di Sungai Petani

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warganegara Pakistan cedera akibat ditetak lelaki dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit di Teluk Wang Besar dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata dalam kejadian 7.20 malam itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an sedang menjaga kedai runcit milik isterinya apabila didatangi dua lelaki bertopi keledar.

“Seorang suspek itu menghentak meja menggunakan parang manakala seorang lagi membawa beg.

“Suspek mengambil wang tunai dan telefon bimbit mangsa namun kerana tidak berpuas hati dengan wang yang diperoleh, suspek bertindak menetak tangan kiri dan bahagian belakang badan mangsa,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Suspek kemudian cuba melarikan diri tetapi terjatuh di dalam kedai menyebabkan telefon bimbit dan wang yang disamun turut terjatuh.

Mereka kemudian bergegas meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki motosikal tanpa sempat mengambil wang dan telefon bimbit itu, katanya. – BERNAMA

Loading...