Suami Isteri Ditetak Penagih Tegar Di Pendang

PENDANG – Sepasang suami isteri cedera parah akibat ditetak penagih tegar di Felda Sungai Tiang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim berkata pelakunya adalah adik kepada abangnya sendiri Muhamad Yusob Abdullah, 55.

Beliau berkata dalam kejadian 9 malam itu, Muhamad Yusob dan isterinya Zaiton Mohamad Salleh, 52, sedang berada di ruang tamu apabila rumah mereka diterjah suspek yang berumur 42 tahun.

Suspek dikatakan menendang pintu rumah dan menyerbu masuk sebelum menetak abangnya dengan parang, katanya.

“Mangsa sempat mencapai kerusi untuk menepis tetakan itu, tetapi tetakan yang bertalu-talu itu menyebabkan kepala dan tangan mangsa cedera,” katanya.

Fadzil berkata suspek masih tidak berpuas dengan tindakannya itu dan mengejar pula kakak iparnya yang melarikan diri ke dalam bilik sebelum menetaknya di kepala dan tangan.

Beliau berkata suspek kemudian melarikan diri sementara kedua-dua mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan di Pendang dan kemudiannya ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Punca serangan masih belum diketahui sementara suspek dapat diberkas kemudiannya, katanya.

Sementara itu anak perempuan pasangan tersebut Huda, 25, berkata dia dan adik-beradiknya menjadi trauma dengan kejadian itu.

Mereka yang berada di dalam rumah ketika kejadian dapat menyelamatkan diri dengan pertolongan jira-jiran, katanya. – BERNAMA

Loading...