Suami Isteri Didakwa Tawarkan Pelaburan Beras Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan isterinya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Ampang, di sini, hari ini atas beberapa tuduhan menerima wang berjumlah hampir RM600,000 daripada dua pesara tentera berhubung perniagaan pelaburan beras tanpa lesen.

Ridzwan Azizuddin, 60, dan isterinya, Habibah Hassan, 54, kedua-duanya yang merupakan pemilik sebuah syarikat pemborong beras, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Hakim Azrul Darus.

Di hadapan Hakim Suzana, pasangan itu didakwa atas dua pertuduhan iaitu bersama-sama telah menerima dua keping cek berjumlah RM452,200 daripada Lahadzir Salleh, 78, tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Stesen Beras belakang Giant Hulu Kelang, di sini antara 4 dan 9 Januari 2017 mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan wang jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dan memohon syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di balai polis dan pasport diserah kepada mahkamah.

Pasangan itu yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan mereka perlu menanggung keluarga selain anak-anak mereka masih belum bekerja.

Suzana membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri setiap hari Isnin pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Di hadapan Hakim Azrul, Habibah didakwa atas satu tuduhan sama iaitu menerima wang daripada Ahmad Zehnunbin Abdul Majid, 71, berjumlah RM141,312.50 di Stesen Beras Empayar Baiduri, Taman Permata, di sini pada 30 November 2016 mengikut seksyen serupa.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li menawarkan wang jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan serupa.

Azrul membenarkan Habibah diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang sama.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 Oktober untuk sebutan semula kes.

Difahamkan kedua-dua tertuduh telah menawarkan perniagaan pelaburan beras kepada mangsa dan menjanjikan keuntungan antara lapan dan 10 peratus dari modal yang dilaburkan mangsa. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..