Suami Isteri Antara Tiga Maut Nahas

JASIN – Pasangan suami isteri antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah Muar ke Melaka berhampiran Serkam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Arshad Abu, berkata dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, Mohd Fairuz Haron, 30-an, dan isteri, Iziani Abu Bakar, 34, yang menaiki Proton Saga FLX serta pemandu lelaki Perodua Myvi, Lee Boon Yong, 22, maut di lokasi kejadian.

“Sepasang anak pasangan itu Nurul Fatehah Adelia, 7, dan Muhamad Amirul Asyraf, 4, serta seorang penumpang wanita Perodua Myvi Siah Shi Yang, 21, mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dari Melaka menghala ke Muar terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh Proton Saga FLX dipandu Mohd Fairuz.

“Akibat kemalangan itu, semua mangsa tersepit di dalam kenderaan terbabit. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, manakala tiga mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Merlimau berkata, semua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba selepas kira-kira 40 minit kerja menyelamat dilakukan. – BERNAMA

Loading...