SPRM Masih Siasat SRC, Belum Ada Kertas Dakwaan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, badan bebas tersebut masih lagi menjalankan proses siasatan terperinci ke atas syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Justeru, tidak timbul soal draf kertas pertuduhan belum dihantar kepada pejabat Peguam Negara memandangkan siasatan belum selesai, kata SPRM menerusi satu kenyataan media di sini pada Jumaat.

“Merujuk perkara berkaitan kewujudan draf kertas pertuduhan, SPRM ingin menjelaskan bahawa kertas siasatan berkaitan isu SRC masih belum dihantar kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

SPRM menegaskan, proses siasatan berkaitan SRC masih berjalan. Oleh itu, tidak timbul kekeliruan isu konon sudah ada draf kertas pertuduhan berkaitan kes yang sedang disiasat.

“Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 30 Julai 2015, bagi melengkapkan siasatan berkaitan isu SRC, pihak SPRM masih lagi mengesan beberapa saksi penting.

Pada masa yang sama, SPRM menekankan bahawa mereka tidak akan mendedahkan apa-apa maklumat berkaitan hasil siasatan kepada mana-mana pihak kerana ia satu tindakan bertentangan dengan undang-undang.

SPRM juga mengulangi bahawa tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah, dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk Kerajaan.

“Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional,” kata kenyataan tersebut. – MYNEWSHUB.CC/HAA

Loading...