SPRM Lancar Buku Rasuah Menurut Perspektif Islam

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan buku “Islam and the Issue of Corruption” bagi mendidik dan memberi kefahaman mengenai rasuah menurut perspektif Islam.

Buku tulisan bersama Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Mohamad Ezam Mohd Nor dan penasihat kepada Kementerian Sosial Indonesia Sapto Waluyo itu dilancarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull di sini.

Buku itu merungkai permasalahan rasuah menurut perspektif Islam dengan mengetengahkan tauladan dan kisah nabi dan para sahabat, selain menjelaskan transformasi SPRM sebagai sebuah agensi antirasuah di Malaysia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali yang ditemui selepas pelancaran itu berkata SPRM menyambut baik penulisan buku ilmiah sedemikian, khususnya dalam memberi pengajaran dan pendidikan kepada masyarakat mengenai isu rasuah.

“Penerbitan itu boleh dianggap satu daripada langkah pencegahan bagi memastikan masyarakat menyedari, memahami dan mengetahui implikasi rasuah sama ada dari aspek agama, masyarakat dan natijah rasuah kepada negara jika tidak ditangani,” katanya.

Diterbitkan selaras dengan pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP 2.0), ia akan diedarkan secara percuma oleh Bahagian Integriti dan Tadbir Urus Jabatan Perdana Menteri kepada pihak berkepentingan dalam usaha-usaha memerangi gejala rasuah seperti agensi kerajaan, perpustakaan pusat latihan kerajaan dan institusi pengajian tinggi yang terpilih. – BERNAMA

Loading...