SPAD Sita Dua ‘Kereta Sapu’ Di Pulau Pangkor

LUMUT – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyita dua kenderaan persendirian kerana disyaki menjalankan kegiatan ‘kereta sapu’ di depan Jeti Pulau Pangkor di sini, menerusi Ops Tegas yang dijalankan pagi tadi.

Pegawai Operasi Zon Tengah SPAD Mohd Rozairi Abd Hamid berkata dalam operasi yang dijalankan pada 10.20 pagi itu, pihaknya telah menahan dua buah kereta jenis Proton Wira terbabit selepas melakukan penyamaran bagi mengesan kegiatan teksi haram di pulau peranginan tersebut.

Kedua-dua kenderaan disita mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu mengadakan suatu perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali, katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata kedua-dua pemandu itu turut dibawa ke Balai Polis Pulau Pangkor bagi tujuan dokumentasi sebelum dibebaskan.

“Modus operandi yang digunakan ialah dengan menunggu dan memujuk pelancong yang keluar dari feri untuk menawarkan perkhidmatan kereta sewa dengan bayaran RM80 sehari,” katanya.

Operasi tersebut yang melibatkan 15 anggota dan pegawai penguat kuasa dengan kerjasama polis Pulau Pangkor dan polis marin menyasarkan perkhidmatan ‘kereta sapu’ dijalankan susulan aduan awam. – BERNAMA

Loading...