Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Penantian Sekian Lama Akhirnya...

SAYA sering tertanya-tanya “macam mana the real situation kat luar sana? Betul ke...

Hospital Sarikei Kekurangan Ambulans

KUCHING - Dewan Undangan Negeri Sarawak yang sedang bersidang di sini hari ini...

Jangan Perbesarkan Isu Perkauman...

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini...

Mayat Lelaki Mereput Ditemui...

JOHOR BAHRU - Mayat seorang lelaki yang sedang mereput ditemui terapung di sebuah...

SL1M Bantu Graduan Atasi Masalah ‘Tiada Pengalaman’

PUTRAJAYA – Menempuh perjalanan lebih lima jam dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan bukanlah masalah bagi Muhammad Mahfudz Mohammad Yusuf.

Bagi anak muda berusia 25 tahun ini, apa yang penting beliau tidak mahu digelar penganggur sejurus menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat.

Pantang sahaja nampak iklan jawatan kosong, beliau pasti menghantar permohonan tetapi jawapan yang diterima selalu menghampakan.

“Banyak kali saya ke Kuala Lumpur menghadiri temuduga tetapi gagal. Alasan majikan, saya tidak ada pengalaman.

“Bagaimana, saya hendak ada pengalaman kalau tidak diberi peluang,” kata beliau kepada Bernama.

Situasi itu membuatkannya Muhammad Mahfudz sering tertekan. Selepas tiga bulan menganggur, keputusan beliau menghadiri temuduga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) berjaya membawa sinar harapan.

“Setelah diterima menyertai program SL1M-TH Plantations Berhad, saya ditempatkan di Unit Insurans walaupun tidak memiliki kelayakan ijazah dalam bidang itu.

“Namun, TH Plantations membuka peluang untuk saya menimba pengalaman dan membina keyakinan diri dalam melaksanakan tugas saya,” katanya yang sudah dua tahun berkhidmat di syarikat itu sebagai Eksekutif Unit Insurans.

MASALAH LAMBAKAN GRADUAN

Hakikatnya, ratusan hingga ribuan graduan lain turut berdepan dengan masalah yang dihadapi Muhammad Mahfudz dalam mencari peluang pekerjaan.

Sama ada lepasan institusi pengajian awam ataupun swasta, tiada pengalaman kerja antara faktor utama mengapa graduan sukar mendapatkan pekerjaan.

Kebanyakan majikan cenderung memilih individu yang mempunyai pengalaman bekerja untuk menjadi ‘ahli keluarga’ mereka. Antara alasan yang sering mereka gunakan ialah mudah dan tidak perlu membuang masa melatih pekerja baru.

Situasi ini sudah pasti mencetuskan kebimbangan bukan sahaja di pihak graduan malah negara memandangkan bilangan mereka ini terus meningkat dari tahun ke tahun dan mungkin menimbulkan masalah lambakan graduan.

Sekali gus, ia juga menjurus kepada peningkatan kadar peratusan pengangguran negara.

“Kami bukan sahaja perlu bersaing dengan lepasan graduan tetapi pekerja berpengalaman. Oleh itu, saya mengikuti program SL1M bagi mempelbagaikan kemahiran tambahan,” ujar Muhammad Mahfudz.

Diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, SL1M yang dilancarkan pada 2011 adalah usaha murni kerajaan dalam menangani isu pengangguran graduan yang dilihat semakin serius.

NILAI TAMBAH

Kewujudan SL1M dilihat sebagai pendekatan terbaik kerajaan menangani keluhan graduan yang gagal mendapat pekerjaan disebabkan alasan ‘tiada pengalaman’.

“Soalan berkaitan ‘pengalaman’, antara soalan pertama ditanya majikan. Seseorang graduan mempunyai nilai tambah sekiranya ada pengalaman. Bayangkan, kalau anda menghadiri temuduga tanpa sebarang pengalaman.

“Markah akan berkurangan berbanding menyertai SL1M kerana mereka boleh bercerita projek, kerja dan kemahiran yang dipelajari sepanjang latihan ,” kata Norashikin Datuk Ismail, Ketua Sekretariat SL1M.

Diseliakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, SL1M dijayakan melalui kerjasama penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan swasta secara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Ia bertujuan memperkasakan siswazah dengan kemahiran, pengalaman pada satu tempoh percubaan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan.

Semua kos perbelanjaan bagi melatih para graduan ini dibiayai sepenuhnya pihak syarikat.

Bagi menghargai komitmen yang diberikan oleh pihak syarikat untuk melatih para graduan, kerajaan menawarkan Insentif Potongan Cukai Berganda dan Insentif HRDF-SL1M.

KEHIDUPAN LEBIH BAIK

Menurut Norashikin, mereka yang berminat boleh mendaftar secara talian di laman sesawang SL1M atau menghadiri temuduga terbuka anjuran SL1M.

Tempoh program bergantung kepada syarikat terlibat melatih graduan tetapi maksimumnya adalah setahun.

Ramai graduan yang sebelum ini tidak diterima syarikat besar dilaporkan berjaya mendapat jawatan baik dengan gaji menarik selepas menyertai SL1M.


Sehingga kini, SL1M berjaya membantu 100,000 graduan mendapatkan pekerjaan sejak ia diperkenalkan pada 2011.

“Ada yang diserap masuk selepas tamat menjalani latihan. Ada juga yang menerima tawaran pekerjaan dan menempatkan diri di syarikat lain sebaik selesai menjalani latihan.

“Graduan SL1M menjadi rebutan syarikat kerana bukan sahaja didedahkan pengalaman alam pekerjaan, bahkan latihan kemahiran insaniah yang dapat meningkatkan keyakinan diri dan berdaya saing,” katanya.

Ini menunjukkan SL1M berjaya menjadi titik sentuhan langsung kerajaan membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia khususnya daripada keluarga miskin atau tinggal di kawasan pedalaman.

Kebanyakan graduan SL1M adalah daripada keluarga miskin serta mempunyai adik-beradik yang ramai, justeru SL1M dilihat sebagai sentuhan langsung kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan khususnya golongan miskin.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyediakan platform untuk pencari kerja terutama graduan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka menerusi SL1M.

Malah setiap pelatih yang menyertai program itu turut menerima elaun minimum RM1,000 sebulan (bergantung kepada syarikat) dan perlindungan insurans serta perubatan.

TIADA DISKRIMINASI

“Apabila sudah menjalani latihan selama setahun serta mendapat kerja setaraf ijazah dimiliki, ada yang mampu membawa ibu ayah menunaikan haji dan beri perkhidmatan kesihatan lebih baik kepada orang tua mereka,” tambah Norashikin.

Tiada diskriminasi malah SL1M sudah berjaya memberi sinar kehidupan kepada semua kaum serta golongan istimewa, Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan positif ini masih ada mempertikaikan keberkesanan program berkenaan, antaranya mempersoalkan statistik pengangguran negara yang masih meningkat.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dipetik sebagai berkata laporan penyiasatan tenaga buruh oleh Jabatan Perangkaan mendapati bilangan belia yang menganggur pada 2015 adalah 273,600 orang berbanding 2014 iaitu 248,000 orang.

Norashikin menjelaskan, kadar pengangguran tinggi graduan adalah merupakan fenomena global yang dihadapi setiap negara membangun dan maju.

Bagaimanapun, beliau menekankan masalah tidak mendapat kerja antaranya berpunca daripada sikap graduan itu sendiri.

SL1M memang berdepan dengan graduan memilih kerja, tidak suka kerja 3D (dirty, dangerous dan difficult), tidak berdisiplin dan bersikap negatif. Walhal, banyak kerja kosong setaraf kelayakan mereka dalam bidang kurang digemari seperti peruncitan, peladangan dan pemasaran.

“Jadi kami terpaksa membentuk semula pemikiran serta jati diri mereka. Antaranya dengan menggunakan video graduan serta OKU yang berjaya untuk membuka mata graduan yang berkenaan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Feb lepas mahu syarikat senaraian awam mengambil bahagian program SL1M atau mereka mungkin berdepan kesukaran mendapatkan kontrak besar daripada kerajaan.

Beliau dipetik berkata penyertaan syarikat dalam program itu akan dijadikan prasyarat menentukan kelayakan untuk mendapat kontrak kerajaan pada masa akan datang.

Menurut Norashikin Datuk Ismail, Ketua Sekretariat SL1M, sebanyak 300 buah syarikat terbabit menjayakan SL1M dan daripada jumlah itu hanya 10 peratus merupakan syarikat senaraian awam.

“Saya minta syarikat di luar sana yang kurang percaya SL1M dan menganggap ia hanya membantu satu kaum sahaja tolong ubah persepsi ini. Kami menghasilkan satu buku ‘Faith’ menghimpunkan kejayaan peserta SL1M bagi rujukan syarikat.

“Peserta program ini berbilang kaum, etnik dan peringkat ekonomi. Ini adalah masanya untuk syarikat menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

TH Plantations Berhad adalah antara syarikat besar terlibat menjayakan SL1M sejak 2015 sehingga hari ini. Sepanjang tempoh itu, kira-kira 330 graduan mendapat latihan di syarikat berkenaan.

Fadzil Abdullah, Pengurus Besar Sumber Manusia, TH Plantations Berhad berkata progam ini memudahkan syarikat mencari calon pelapis kerana tidak perlu membuang masa atau wang ringgit mengiklankan kerja kosong.

“Kita ada 39 ladang dan enam kilang kelapa sawit di seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak untuk memberi peluang latihan SL1M.

“Daripada 330 graduan sepanjang menjayakan SL1M, kira-kira 30 orang diserap tetap. Yang lain, ada sambung belajar atau mendapat pekerjaan tempat lain,” katanya. – BERNAMA

Kategori