Skuter Elektrik Jadi Penggerak Skuad Amanita PDRM

KUALA LUMPUR – Skuad Polis Aman Wanita (Amanita) kini boleh bergiat lebih cergas dalam pencegahan jenayah bagi mendekati golongan hawa yang boleh menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan itu melalui penggunaan skuter elektrik.

Pada peringkat awal, penggunaan skuter elektrik oleh skuad itu ditumpukan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan dibekalkan sebanyak 33 buah yang dibeli kerajaan daripada syarikat Eclimo Sdn Bhd.

Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata penggunaan skuter elektrik adalah sebahagian daripada inisiatif Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kos bahan api termasuk pencemaran udara dan bunyi.

“Penggunaannya juga bersesuaian dengan penugasan skuad Amanita mendekati golongan wanita terutama suri rumah,” katanya selepas merasmikan pelancaran Inisiatif Hijau Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan penyerahan Skuter Elektrik Amanita.

Beliau berkata skuter elektrik berkenaan dapat mengurangkan pengeluaran karbon dioksida yang dapat meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Skuad Amanita adalah inisiatif PDRM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilancarkan Mac 2013 yang mana polis wanita dikerah mendekati setiap lapisan golongan hawa terutama suri rumah untuk mengetahui permasalahan berkaitan jenayah di kawasan persekitaran tempat tinggal mereka.

Zulkifli berkata sebanyak 20 buah skuter itu diagihkan kepada Kontinjen Polis Kuala Lumpur manakala selebihnya kepada Kontinjen Polis Selangor.

Beliau berkata tempoh penilaian selama enam bulan, kini dalam pelaksanaan bagi melihat perkembangan penggunaan skuter elektrik itu.

Selain skuter elektrik, beliau berkata PDRM kini memulakan projek perintis dalam melestarikan amalan hijau dan teknologi hijau di peringkat balai polis sebelum diperluaskan ke Bukit Aman.

“Balai Polis TTDI merupakan projek perintis sebagai balai polis sedia ada yang akan diberi penarafan bangunan hijau PDRM dan balai polis ini juga akan dijadikan penanda aras dalam amalan hijau dan teknologi hijau.

“Kita telah memasang sistem pengurusan tenaga lestari di balai ini bagi program penjimatan tenaga bagi organisasi,” katanya.

Zulkifli berkata inisiatif lain yang telah dilaksanakan turut membabitkan pemasangan sistem enjin Hibrid Revolo bagi kereta peronda, namun ia perlu diusulkan kepada kerajaan sebelum penggunaannya diperluaskan di setiap kontinjen. – BERNAMA

Loading...