Skuad Hoki Malaysia Mampu Jinakkan England

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Stephen Van Huizen yakin pemainnya mampu mencatat keputusan positif berdepan England pada aksi pembukaan Kumpulan B Sukan Komanwel 2018 di Australia, Jumaat ini.

Beliau berkata dua kemenangan dan satu kekalahan yang dicatat pada aksi persahabatan, jelas membuktikan skuad ‘Malaysian Tigers’ sudah bersedia untuk menghadapi temasya sukan berkenaan.

“Perlawanan persahabatan banyak membantu pemain untuk mendapat situasi perlawanan sebenar selain ia juga membantu kami mencuba beberapa perkara baru.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada pemain mengalami kecederaan sepanjang perlawanan persahabatan,” kata Van Huizen yang dipetik menerusi laman sesawang Konfederasi Hoki Malaysia (KHM); www.mhc.org.my.

Untuk rekod, Malaysia menang bergaya, masing-masing 4-2 dan 5-2 ke atas New South Wales Institute of Sports (NSWIS) dalam dua perlawanan persahabatan pada 29 Mac dan 31 Mac.

Skuad negara, bagaimanapun tewas 0-2 kepada skuad kebangsaan Australia pada aksi persahabatan ketiga di Pusat Hoki Gold Coast yang juga merupakan venue rasmi Sukan Komanwel 2018, hari ini.

Selain Malaysia dan England, tiga pasukan lain dalam Kumpulan B ialah juara Asia India, Pakistan dan Wales manakala Australia yang merupakan juara bertahan, mengetuai cabaran Kumpulan A bersama New Zealand, Scotland, Kanada dan Afrika Selatan. – BERNAMA