Skuad Berbasikal Lebuh Raya Sasar Satu Pingat Emas

INCHEON – Sukan berbasikal lebuh raya mahu memperbaiki pencapaian Sukan Para Asia di Guangzhou dengan merebut sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya kali ini di Incheon, Korea Selatan.

Pengurus pasukan, Ramlay Ibrahim berkata pada temasya lepas, Malaysia sekadar berakhir di kedudukan kelima tanpa sebarang kutipan pingat.

“Masa di Guangzhou, kita terlalu muda dalam dunia sukan berbasikal lebuh raya…tapi selepas empat tahun, saya rasa atlet-atlet kita sudah bersedia untuk beraksi.

“Namun, ada antara mereka yang masih baharu tapi dari segi pemerhatian saya dan jurulatih, mereka memang semakin bagus,” katanya kepada Bernama di Arena Berbasikal Lebuhraya Songdo, di sini hari ini.

Skuad berbasikal lebuh raya negara menyasarkan acara Perlumbaan 96km Wanita dan Lelaki B akan menghadiahi pingat emas pertama sukan itu.

Ramlay berkata sejak Majlis Sukan Negara mula menyediakan program latihan dan pembangunan kepada atlet paralimpik, prestasi skuad lebuh raya negara kian meningkat.

Pada hari pertama acara itu dipertandingkan, bagi acara Ujian Masa Campuran MB&WB, Malaysia sekadar berakhir di tempat kelima melalui Mohd Khairul Hazwab Wahab dengan masa 32 minit 26.44 saat manakala Mohd Yusaini Yusop (33:26.44) di kedudukan keenam.

Malaysia bukan sahaja gagal dalam satu acara tetapi turut menerima nasib malang apabila tewas dalam acara Ujian Masa Campuran MC1-5 & WC1-5.

Mohd Najib Turano dengan cacatan masa 22:48.69 berada di kedudukan keenam manakala Shukor Farhan Suliman (24:03.43S), Zuhairie Ahmad Tarmizi (24:50.70s) dan Mohd Saifuddin Rosli (24:58.37s) masing-masing di kedudukan kesembilan, 10 dan 11. – BERNAMA

Loading...