Sistem MaNIS Kini Pusat Data Raya Bagi Isu, Masalah Sosial

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini melancarkan Sistem Maklumat Nasional Isu-isu Sosial (MaNIS) yang akan berperanan sebagai hab pengumpulan data berpusat atau pangkalan data raya bagi pelbagai isu dan masalah sosial negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata mereka yang sebelum ini tercicir daripada masyarakat terutamanya golongan dengan latar belakang keluarga yang berpecah-belah akan dapat dikesan melalui MaNIS.

“MaNIS akan membolehkan KPWKM melihat masalah (sosial) hingga ke akar umbi. Penyediaan dasar dan program berkualiti yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat terutama kumpulan sasar KPWKM dapat direalisasikan melalui data-data yang dijana sistem MaNIS,” katanya ketika berucap melancarkan MaNIS pada perhimpunan bulanan KPWKM di sini hari ini.

Rohani berkata pelaksanaan sistem MaNIS memfokuskan kepada pembangunan portal untuk kegunaan awam dan dalaman, pemetaan lokasi institusi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPWKM kepada kumpulan sasar khususnya dan

“Selain itu, pembangunan MaNIS melibatkan pembangunan aplikasi mudah alih untuk kegunaan aduan rakyat berkenaan kumpulan sasar KPWKM supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih mudah dan cepat,” katanya.

Sebanyak 210 laporan berkenaan data kumpulan sasar KPWKM telah dibangunkan dalam sistem MaNIS yang merangkumi 21 laporan berkenaan dengan data orang kurang upaya, 64 data wanita, 36 laporan kanak-kanak, 23 laporan warga emas, 10 laporan mangsa bencana, 10 laporan orang papa, 43 laporan keluarga dan tiga laporan data pertubuhan bukan kerajaan.

​​​​​​​​​​​Beliau berkata projek pembangunan sistem MaNIS, yang dimulakan pada Jun 2016, dijangka tamat pada Jun 2018 dan merupakan kesinambungan daripada Sistem Pangkalan Data Isu-isu Sosial (SPDIIS) KPWKM.

Katanya penjenamaan SPDIIS kepada MaNIS seiring dengan perubahan teknologi komunikasi dan maklumat yang pesat dalam menghasilkan sistem yang boleh dimanfaatkan oleh ramai pihak terutamanya masyarakat. – BERNAMA

Loading...