Sindiket Judi Ubah Modus Operandi, Elak Dikesan Polis

764
GAMBAR HIASAN

SEREMBAN – Sindiket judi siber di Negeri Sembilan kini menukar modus operandi mereka dengan menawarkan perjudian siber menggunakan tablet, bagi mengelak dikesan pihak polis, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, ACP Norazman Muhammad Yusuf.

Penggunaan gajet itu dilihat lebih efisyen kerana mudah dibawa selain boleh diakses di mana sahaja termasuk di bengkel kereta, tempat awam, premis kediaman dan pelbagai tempat lagi.

“Sindiket telah berubah, dulu mereka beroperasi di pusat hiburan, sekarang modus operandi mereka hanya ditawarkan kepada pelanggan yang mereka kenal sahaja. Kenal boleh main, tak kenal tak boleh main.

“Pihak sindiket menggunakan tablet mereka sendiri untuk menawarkan judi dalam talian kepada pelanggan mereka dan susah kita nak kawal kerana mereka sering bergerak, dalam kereta pun boleh melakukan operasi mereka,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan di sini Rabu.

Beliau berkata pihak sindiket akan memasukkan kata laluan di dalam tablet mereka sebelum diberikan kepada pelanggan untuk berjudi dan pelanggan juga boleh menggunakan tablet sendiri untuk melakukan aktiviti haram itu.

“Semua ini hasil maklumat orang awam dan kita berharap lebih banyak lagi maklumat yang tepat dapat disalurkan kepada pihak polis.

“Banyak kita terima maklumat, di sana judi, di sini judi, tetapi saya nak tahu alamat yang lengkap atau lokasi yang tepat supaya mudah pihak polis mengambil tindakan,” katanya.


Sementara itu, Norazman berkata dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, pihak polis membuat tujuh tangkapan di sekitar daerah Seremban, berhubung dengan aktiviti judi siber menerusi Ops Dadu.

Tangkapan itu melibatkan 14 penjaga premis dan 19 pemain judi yang berusia antara 19 hingga 65 tahun.

Pihak polis turut merampas lapan komputer, sembilan komputer riba dan 17 tablet.

Kesemua suspek akan disiasat dibawah Seksyen 4B(a) dan Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA

https://www.youtube.com/watch?v=xuJixInaTsc