Tabung Haji Serah Sijil Badal Haji 10 Kru MH17

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menyerahkan sijil Badal Haji kepada 10 anak kapal yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, 17 Julai lalu.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim menyerahkan sijil kepada 10 waris anak kapal berkenaan di Kompleks Lembaga Tabung Haji di sini, hari ini.

Sepuluh anak kapal terbabit adalah kapten, Wan Amran Wan Hussin; pegawai pertama, Ahmad Hakimi Hanapi; Muhamad Firdaus Abdul Rahim (pegawai pertama); Mohd Ghafar Abu Bakar (penyelia penerbangan); Dora Shahila Kassim (ketua pramugari); Azrina Yaacob (ketua pramugari); Mastura Mustafa (pramugari kanan); pramugara, Shaikh Mohd Noor Mahmood serta masing-masing pramugari, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin dan Nur Shazana Mohamed Salleh.

Abdul Azeez berkata, pelaksanaan badal haji itu adalah usaha Tabung Haji (TH) dalam meringankan beban keluarga mereka untuk melaksanakan ibadat itu.

“Selain itu, usaha ini juga sebagai penghargaan atas kerjasama yang erat antara TH dan MAS dalam mengendalikan perjalanan jemaah haji negara ke tanah suci setiap tahun.

Dalam insiden itu, seramai 283 penumpang dan 15 anak kapal terkorban selepas pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine yang menghadapi pergolakan dengan kumpulan pemberontak pro-Russia.

Sementara itu, TH juga turut melaksanakan badal haji untuk lapan remaja yang lemas di Segamat, Johor , seorang anggota Pasukan Polis Marin yang terkorban ketika diserang hendap oleh kumpulan bersenjata dalam kejadian di Pulau Mabul, Sabah serta enam jemaah haji yang meninggal dunia sebelum wukuf. – Harian Metro