Seoul Longgar Pemeriksaan Di Zon Bebas Tentera

SEOUL – Kementerian Pertahanan Korea Selatan hari ini, mendedahkan rancangannya untuk mengurangkan beberapa pusat kawalan serta peralatan sepanjang zon bebas tentera di antara sempadan negara itu dan Korea Utara.

Agensi berita Yonhap yang memetik jurucakap kementerian itu melaporkan, maklumat itu didedahkan dalam satu laporan oleh Jawatankuasa Parlimen dan ia adalah ujian awal, sebelum ia diperluaskan bagi mematuhi perjanjian yang dimeterai pada sidang kemuncak antara kedua-dua negara pada April lalu.

“Jawatankuasa Parlimen dalam laporannya memaklumkan mengenai rancangannya untuk mengurangkan jumlah pusat kawalan tentera dan peralatan secara berperingkat, sejajar dengan hasrat untuk menjadikan zon bebas tentera sebagai kawasan aman,” lapor Yonhap.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas mengenai laporan itu. – Reuters