Seorang Maut, 5 Cedera Nahas Di Kampung Gajah

SERI ISKANDAR – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera selepas dua kereta bertembung di Kilometer 6, Jalan Bota Kanan Kampung Gajah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Aziz Hassan berkata Zamri Ismail, 57, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah rusuk kiri dan kanan serta paha kanan manakala isteri dan dua anak lelakinya cedera ringan.

Kemalangan pukul 1.30 tengah hari itu juga mengakibatkan seorang kanak-kanak berumur empat tahun, Mohhamad Syahmi Faris Zulazuwa, patah paha kiri manakala bapanya, Zulazuwa Zulkefli, 41, yang memandu Proton Persona, mengalami cedera ringan, katanya.

“Isteri dan dua lagi anak Zulazuwa tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata mayat Zamri dihantar ke Hospital Changkat Melintang manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital yang sama.

Aziz berkata kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandu Zamri dalam perjalanan dari Kampung Gajah menghala ke Bota Kanan, bertembung dengan Proton Persona dari arah bertentangan, semasa hendak memotong kenderaan di hadapannya. – BERNAMA

Leave a Reply