Seorang Lagi Mangsa Rempuhan Lori Meninggal

KUANTAN – Seorang lagi mangsa rempuhan lori di Kampung Sungai Soi petang semalam disahkan meninggal dunia malam tadi menjadikan jumlah yang maut tiga orang.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata Awang Ariffin, 76 meninggal dunia pada 8 malam semasa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Mangsa merupakan suami kepada Kelsom Ariffin, 66, yang terbunuh di tempat kejadian dalam nahas 5.25 petang itu, katanya ketika dihubungi.

Abdul Aziz berkata sehingga tengah hari ini, pemandu lori yang melarikan diri selepas kemalangan itu masih belum tampil membuat laporan polis.

“Tindakan mengesan pemandu lori itu akan dilakukan,” katanya.

Kemalangan itu turut meragut nyawa anak Kelsom, Tuan Mohd Zulhaizize Tuan Temeran, 38 manakala isterinya Zuraidah Shamshuddin, 34, dilaporkan parah dan kini dirawat di HTAA.

Dalam nahas itu, kereta yang dinaiki empat sekeluarga tersebut dirempuh oleh sebuah lori yang membawa muatan pasir menyebabkan Kelsom dan Tuan Mohd Zulhaizize terbunuh di tempat kejadian.

Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang dalam perjalanan dari Pekan ke Kuantan itu kerana gagal mengawal kenderaan sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Proton Iswara yang dinaiki mangsa sekeluarga. – BERNAMA