Seorang Anggota STING Maut Kemalangan Dengan 2 Lori

REMBAU – Seorang anggota polis Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori di Kilometer 228.6 Lebuhraya PLUS (arah selatan), berhampiran Pedas-Linggi, kira-kira jam 1.30 pagi ini.

Mangsa, Mohd Ifwat Mohd Pauzi, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Mayat Mohd Ifwat yang berasal dari Tampin dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, siasatan lanjut punca nahas masih dijalankan. – BERNAMA

Loading...