Seleweng Dana Kerajaan: Bekas KP Bahagian Di JPM Direman

PUTRAJAYA – Bekas ketua pengarah sebuah bahagian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bergelar “Datuk” direman lima hari bagi membantu siasatan berkaitan salah guna dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perintah reman yang bermula hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim setelah membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, wanita berusia 61 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.08 pagi dengan berpakaian reman SPRM dan tangan bergari.

Wanita itu ditahan pada pukul 4.15 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM di sini selepas hadir untuk memberi keterangan.

Siasatan awal SPRM mendapati wanita tersebut dipercayai terlibat bersama-sama tujuh lagi pegawai kanan yang lain menyalahgunakan peruntukan tersebut bagi tujuan peribadi.

Semalam, mahkamah turut membenarkan permohonan SPRM menahan reman seorang timbalan ketua pengarah jabatan dan enam pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di JPM bagi membantu siasatan kes yang sama.

Lelaki bergelar “Datuk” dan enam PTD berusia 34 hingga 49 tahun direman lima hari sehingga 1 Sept depan.

Jumlah sebenar dana yang diselewengkan belum dapat dipastikan. – BERNAMA

Loading...