Sekolah Daif Di Sabah Akan Dinaik Taraf Menerusi IBS

SIPITANG – Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob menyasarkan semua sekolah rendah dalam kategori daif di Sabah akan dinaik taraf menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 500 sekolah kategori daif daripada lebih 1,000 sekolah rendah di negeri itu.

“Kementerian menyasarkan sebanyak 120 buah sekolah akan dapat dinaik taraf tetapi untuk tahun ini ada kelewatan.

“Projek yang telah terlewat sedang disemak semula bagi mengetahui punca kelewatan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya negeri,” katanya kepada RTM dan Bernama bersempena lawatannya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Meligan kira-kira 90 kilometer dari pekan Sipitang.

Anggota Dewan Undangan Negeri Sindumin itu berkata infrastruktur bangunan sekolah yang daif tersebut termasuk rumah guru.

Dalam pada itu, Yusof menyeru kerjasama daripada pihak sekolah, ibu bapa dan Pejabat Pendidikan Daerah supaya memastikan semua pelajar yang tamat persekolahan menyambung pendidikan ke peringkat seterusnya.

Ini kerana katanya masalah keciciran pelajar masih berlaku di Sabah selain ada yang tidak dapat menguasai asas menulis, membaca dan mengira (3M) meskipun telah berada di sekolah menengah.

Sementara itu, Guru Besar SK Meligan Birly Johnny berharap kementerian akan menambah baik peralatan di sekolah berkenaan antaranya komputer untuk kemudahan guru dan murid serta kemudahan bekalan elektrik yang sering terganggu sejak sebulan lalu.

Beliau berkata 50 daripada 106 murid sekolah itu yang tinggal di asrama sekolah juga memerlukan peralatan terutamanya katil dan almari.

“Permohonan untuk memohon peralatan asrama sudah dihantar dan berharap akan dapat maklum balas,” katanya. – BERNAMA

Loading...