Samun Warga Bangladesh, Dua Sahabat Didakwa

KUALA LUMPUR – Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun bersenjatakan parang terhadap seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh di sini, minggu lepas.

Tertuduh, Arif Aiman Azhar, 22, seorang penarik kereta, penganggur Mohamad Samsul Nizam Mohamad Nazdri, 24, dan seorang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan samun terhadap Halal Uddin, 31, dengan merampas dua buah telefon bimbit, sebuah dompet dan wang tunai RM300.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Segambut Batu 4 1/2, Sentul, pada jam 8.30 malam, 19 Nov lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa meningkut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi manakala Arif Aiman diwakili peguam Hazwan Hassan dan Mohamad Samsul Nizam tidak diwakili peguam.

Hakim Mahyon Talib membenarkan Arif Aiman diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan, manakala Mohamad Samsul Nizam tidak dibenarkan jamin kerana tiada penjamin yang hadir di mahkamah.

Mahkamah menetapkan 8 Jan depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Loading...