Samsung Buka ‘Premium Experience Store’ Di Pavilion KL

KUALA LUMPUR – Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd membuka ‘Samsung Premium Experience Store’ yang terkini untuk berkongsi dengan peminat Samsung pengalaman ekosistem Galaxy, di pusat membeli-belah Pavilion di sini.

Ketua Perniagaan Mudah Alih dan Teknologi Maklumatnya, KM Liew berkata pembukaan kedai tersebut merupakan cara syarikat menghargai peminat yang telah memberi sokongan berterusan terhadap produknya.

“Pelanggan berpeluang mendapatkan semua teknologi inovatif terkini Samsung di kedai berkenaan. Ia menawarkan pelbagai telefon pintar, tablet dan aksesori Samsung yang meliputi ekosistem Galaxy.

“Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati perkhidmatan mengikut kehendak masing-masing seperti perundingan peranti, pembaikan perkakasan penuh dan peningkatan perisian,” katanya kepada pemberita pada pembukaan Samsung Premium Experience Store, hari ini.

Beliau berkata syarikat berharap lebih ramai lagi yang akan mengambil kesempatan untuk melibatkan diri dalam inovasi Samsung di kedai berkenaan.

Samsung yang dikenali di seluruh dunia dalam pembuatan televisyen, telefon pintar, peranti, tablet, perkakasan digital, memori dan sistem, sistem LSI (integrasi skala besar) dan penyelesaian LED (diod pemancar cahaya). – BERNAMA