Sambutan Hari Kebangsaan Di Chile Bermakna, Menarik

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan 2017 diadakan sehari lebih awal di Kedutaan Malaysia di Santiago, Chile.

Duta Besar Malaysia ke Chile Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya menyifatkan acara itu yang dianjurkan Perwakilan Ladies of Santiago sebagai sederhana namun tetap bermakna dan menarik.

“Acara itu yang bermula pada sebelah tengah hari hingga 2 petang dihadiri lebih daripada 150 tetamu termasuk duta-duta besar, pegawai kerajaan, senator, datuk bandar dan juga alumni program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kali ini, katanya, para pegawai kedutaan bersama-sama dengan pasangan mereka menyediakan dan menghidangkan makanan rakyat Malaysia seperti sate, rendang ayam, nasi impit, popiah dan teh tarik kepada lebih 150 tetamu undangan dan rakyat Malaysia yang menetap di Chile.

Selain menikmati hidangan, para tetamu juga dihiburkan dengan nyanyian lagu Negaraku, 1Malaysia, kek dan majlis memotong pulut kuning, selain persembahan ringkas kompang.

Bercakap tentang makna Merdeka di kalangan tetamu jemputan, Mohamad Rameez berkata rakyat Malaysia perlu bersatu padu untuk membangunkan dan meningkatkan kedudukan Malaysia di tahap yang lebih baik berbanding keadaan Malaysia pada 60 tahun lalu.

“Usaha mentransformasikan Malaysia kepada apa yang ada sekarang, tidak akan berhasil tanpa rasa perpaduan dan kerjasama di kalangan pemimpin dan rakyat.
Malaysia merupakan satu jenama yang tersohor di seluruh dunia, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Semasa sambutan yang berlangsung selama dua jam itu, Mohamad Rameez juga mengadakan dialog Transformasi Nasional 2050 yang mendapat maklum balas positif daripada rakyat Malaysia terutama golongan belia, yang menetap di Chile.

“Kebanyakan daripada mereka menekankan tentang pentingnya mengekalkan tradisi ‘hormat-menghormati’ (antara satu sama lain) serta pendidikan untuk masa depan generasi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Setakat hari ini, terdapat kira-kira 101 alumni dari Chile mengambil bahagian dalam pelbagai kursus yang ditawarkan di bawah MTCP di Malaysia.

Seorang alumni MTCP, Sergio Parot berkongsi pengalamannya dengan para tetamu dengan menyatakan bahawa kedua-dua negara boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam pelbagai aspek yang memberi manfaat dan memainkan peranan penting dalam membangunkan kedua-dua negara.

Katanya dalam kursus briged kebakaran yang dihadiri beliau bertahun-tahun yang lalu di Malaysia, beliau telah mendapat satu pengajaran yang hebat bukan hanya pada kursus tetapi pelbagai aspek sosiobudayanya. – BERNAMA

Loading...