Saman JPJ Kekal Tiada Diskaun, Kata Menteri

SEPANG – Dasar tiada tawaran diskaun terhadap mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas akan dikekalkan menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan tidak mahu pengguna jalan raya yang mendapat saman mengamalkan sikap menunggu tawaran diskaun sebelum membayar saman.

“Kita tidak mahu pengguna jalan raya ambil ringan saman tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 sempena Tahun Baru Cina di kawasan rehat dan rawat Dengkil arah selatan di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau sama sekali tidak kisah sekiranya pendekatan sedemikan akan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan pengguna jalan raya.

“Hendak marah Menteri Pengangkutan pun marahlah. Tugas saya ialah untuk kurangkan kemalangan jalan raya. Ini KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya,” ujarnya.

Loke berkata, beliau juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak menawarkan sebarang diskaun. – BERNAMA

Loading...