Salur Maklumat Jenayah Menerusi ‘Infoline’ Polis Selangor

SHAH ALAM – Penduduk Selangor kini boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing menerusi aplikasi Whatsapp dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan pengenalan talian ‘hotline’ Polis Selangor 0126009999.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, talian berkenaan juga boleh digunakan untuk bertanya mengenai perkembangan siasatan dan aduan.

“Maklumat hanya boleh disalurkan melalui Whatsapp dan SMS, kami jamin maklumat peribadi individu yang menyalurkan maklumat ke talian ini akan dirahsiakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mazlan berharap masyarakat dapat memanfaatkan talian berkenaan dengan menyalurkan maklumat seperti perjudian dalam talian dan kejadian jenayah lain.

Sementara itu mengulas mengenai operasi bersepadu jenayah khas barang lusuh, curi alat ganti kereta dan motosikal, beliau berkata dalam tempoh awal Januari sehingga 17 Ogos lepas, pihaknya telah melakukan sebanyak 1,429 serbuan ke atas premis-permis barang lusuh di negeri ini.

“Daripada jumlah serbuan tersebut, sebanyak 413 tindakan saman di bawah Seksyen 6 Akta Barang-Barang Lusuh dan Terpakai 1946 (Akta 189) telah diambil ke atas pengusaha premis barang lusuh yang tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

“Selain tindakan saman, kita turut menahan seorang pengusaha premis barang lusuh di Petaling Jaya selepas menemui kira-kira 85 batang kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilaporkan hilang pada 26 Julai lepas,” katanya.

Sehubungan itu, Mazlan menasihati semua peniaga barangan lusuh supaya tidak berurusan atau membeli barangan yang disyaki barang curi.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan peniaga yang didapati membeli atau memiliki barangan curi, dengan mengenakan tindakan pembatalan lesen sekiranya mereka gagal menunjukkan rekod pemilikan sah barangan yang dibeli. – BERNAMA

Loading...