PUTRAJAYA – Saiz stesen dan kapasiti kereta api Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dikurangkan dan diselaraskan kerana pengurusan Prasarana Malaysia sebelum ini telah mengarahkan spesifikasi yang melebihi keperluan sistem LRT3 yang diperlukan dan unjuran penumpang, kata Kementerian Pengangkutan .
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata spesifikasi yang telah disemak semula mendapati bahawa 22 set tren 3-kereta adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung permintaan penumpang pada waktu ini.
Menurut kementerian, stesen LRT perlu direka bentuk untuk menampung permintaan sebenar penumpang dan bukannya bagi memenuhi tuntutan yang tidak realistik yang mengakibatkan peningkatan kos yang mendadak.
“Semasa waktu puncak, bilangan maksimum penumpang yang diunjurkan bagi satu arah setiap jam (pphpd) adalah 6,185 untuk tahun 2034. Jumlah ini mampu ditampung oleh 22 set tren 3-kereta yang dapat membawa 6,210 penumpang satu arah setiap jam.
Kementerian memaklumkan bahawa jumlah 22 set tren tersebut termasuk peruntukan bagi dua set tren di bawah penyenggaraan dan satu set tren untuk tujuan bersiap sedia, menepati piawaian antarabangsa.
Selain itu, bagi meningkatkan keupayaan untuk menampung penumpang selepas tahun 2050, tambahan set tren 3-kereta boleh didapatkan kelak memandangkan stesen-stesen LRT ini boleh menampung set tren 4- kereta,” katanya.
Menurut kementerian itu, stesen, saiz platform dan concourse yang akan dibina bagi menampung set tren 4-kereta juga mampu menampung jumlah penumpang bagi 2050 dan seterusnya.
Bagi lima stesen yang ditangguhkan pembinaan kerana mempunyai unjuran di bawah paras 1,500 penumpang sehari setiap stesen pada 2020, ia akan dibina secara progresif apabila terdapat pertambahan penumpang dan peningkatan kepada permintaan, kata kementerian itu.
Stesen itu ialah Lien Hoe, Temasya, Persiaran Hishamuddin, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic.
“Di samping itu, reka bentuk semula dan kemudahan stesen yang disediakan akan dilaksana berdasarkan kepada standard stesen LRT sedia ada laluan Kelana Jaya dan ia lebih daripada mencukupi untuk menampung jumlah penumpang yang diunjurkan,” katanya.
Oleh itu, Kementerian Pengangkutan berkata pengurangan kos projek sebanyak RM15 bilion atau 47 peratus daripada RM31.6 bilion asalnya kepada RM16.6 bilion akan memberi impak positif dari segi daya maju operasi yang lebih tinggi dan tambang tiket yang lebih murah. – BERNAMA