Saham Pengeluar Sarung Tangan Getah Mula Terjejas

KUALA LUMPUR – Saham syarikat pengeluar sarung tangan getah yang terlindung daripada penjualan besar-besaran ekuiti global beberapa bulan kebelakangan ini, kini mula terjejas.

Saham Top Glove Corporation Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. mencatatkan rali dalam dua tahun terakhir ini, sekali gus meletakkan kedua-duanya sebagai antara syarikat 10 teratas terbaik di indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

Namun kini keadaan sebaliknya berlaku apabila kedua-dua syarikat itu serta dua syarikat lain, Kossan Rubber Industries Bhd. dan Supermax Corp. Bhd., telah kehilangan lebih daripada AS$1 bilion (RM4.11 bilion) gabungan nilai pasaran tahun ini.

Pengukuhan ringgit, harga minyak mentah yang lebih teguh dan pelabur mengurangkan pendedahan selepas dua tahun menunjukkan prestasi terlebih baik adalah antara sebab kepada kejatuhan tahun ini, lapor Penganalisis Citigroup, Megat Fais dan Patrick Yau dalam notanya, semalam.

“Kami telah berwaspada terhadap sektor ini untuk buat seketika waktu sekarang dan pendirian kami adalah untuk mengekalkan ‘status quo’ ini menuju tahun 2019,” lapor nota itu.

Permintaan untuk sarung tangan getah sepatutnya semakin berkurangan apabila bekalan dari China kembali pulih selepas kawalan ketat alam sekitar menyebabkan penurunan sementara dalam pengeluaran sarung tangan vinil, demikian menurut Citi group.

“Kejutan positif bahan mentah ini perlu diteruskan untuk memacu satu lagi pusingan dalam harga saham,” tulis laporan itu.

Namun, terdapat sesetengah pelabur yang masih mahu kekal memiliki saham dalam syarikat-syarikat terbabit.

Pengurus dana di Northcape Capital Ltd., Ross Cameron, yang memiliki kira-kira 98 juta saham dalam Top Glove, berkata ‘kebimbangan jangka pendek’ ini boleh dibuat-buat oleh pertumbuhan struktur dalam sektor terbabit.

Ringgit belum memulakan pengukuhannya dan harga minyak mempunyai kesan kecil terhadap margin, katanya melalui telefon.

Sebaliknya katanya, pertimbangkan syarikat berkenaan sebagai berkaitan dengan perubatan.

“Anda perlu memikirkan syarikat sarung tangan sebenarnya sebagai syarikat penjagaan kesihatan,” katanya.

“Perlu diingat bahawa pengguna akhir kebanyakannya adalah dalam penjagaan kesihatan, jadi pertumbuhan jumlahnya adalah tidak sensitif.

“Tambahan, pengeluaran sarung tangan getah Malaysia telah meningkat lapan hingga 10 peratus dalam tempoh 20 tahun lalu walaupun ketika krisis kewangan global dan kemelesetan ekonomi berlaku,” kata Cameron. – Bloomberg

Loading...