Sabah Tuan Rumah Hari Malaysia Kebangsaan 2018

KOTA KINABALU – Sabah dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018 yang diadakan pada 16 September ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata perbincangan mengenai penganjuran acara itu telah diadakan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Hari ini saya telah melakukan lawatan kerja sehari ke Sabah dan antara tujuan saya ke sini adalah untuk berjumpa dan berbincang dengan Ketua Menteri Sabah mengenai usaha sama antara kerajaan negeri dan kementerian bagi mengadakan sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu.

“Kita telah serahkan kepada pihak kerajaan negeri untuk memilih di mana lokasi sambutan itu dibuat dan kita akan mengumumkan secara terperinci mengenai aktiviti yang akan dilaksanakan pada sambutan itu dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata tema sambutan Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah ‘Sayangi Malaysiaku’ .

“Saya juga telah difahamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk menghadiri sambutan berkenaan. Oleh itu saya menyeru agar semua pihak dapat memberi sokongan agar penganjuran ini berjalan lancar” katanya. – BERNAMA