Sabah Tidak Pernah Dilanda Konflik Agama

TENOM – Sabah tidak pernah dilanda sebarang konflik berkaitan agama malah negeri ini sentiasa menikmati keharmonian dan keamanan meskipun rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum dan berbeza kepercayaan agama, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Radin Malleh.

Beliau berkata kesatuan juga perpaduan antara kaum di Sabah yang sudah terjalin sejak sekian lama begitu bernilai dan elemen itu perlu terus dipelihara serta dikekalkan.

“Walaupun berbeza agama, bangsa dan bahasa, namun, rakyat di negeri ini masih boleh hidup aman dan harmoni. Kita harus berbangga dan mensyukuri nikmat keamanan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kasih Warga Tua selain menyerahkan dua kanopi kepada Surau Al-Falah Kampung Bunut di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Radin selaku Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap mahu rakyat di daerah ini terus memperkukukuh perpaduan sedia ada dan mengetepikan segala salah faham seterusnya memberi sokongan penuh kepada kerajaan memerintah.

Beliau berkata Barisan Nasional mempunyai rekod pencapaian yang bagus dalam memastikan tidak ada rakyat terpinggir selain sentiasa memelihara kesejahteraan rakyat menerusi penyaluran bantuan kebajikan dan pembangunan. – BERNAMA

Loading...