Rumah RM90,000 Untuk Generasi Baharu Felda Parlimen Rompin

KUALA LUMPUR – Kerajaan menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual-beli kepada generasi baharu Felda di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang ditawarkan sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagi generasi baharu yang tidak berkeupayaan mendapatkan pembiayaan untuk pembelian rumah berkenaan, kerajaan akan menyediakan skim sewa dan beli di mana mereka dapat menduduki rumah itu selama lima tahun secara sewaan dengan kadar munasabah.

“Tawaran pembelian akan dibuat selepas itu yang tertakluk kepada syarat-syarat dan perjanjian kedua-dua pihak,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan di laman Facebook PMO Malaysia hari ini.

Najib berkata kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat mengenai pemilikan rumah mampu milik di tanah rancangan Felda khususnya untuk generasi baharu.

Komitmen kerajaan terhadap perkara itu dizahirkan dengan pembinaan 1,504 unit Perumahan Generasi Baharu Felda di Parlimen Rompin iaitu di Felda Selancar 4/5 sebanyak 480 unit, Felda Keratong 4 (264 unit), Felda Selendang 2 (360 unit) dan Felda Keratong 7 (400 unit) pada harga RM125,000 seunit yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa, jelas beliau.

“Menyelami keluh kesah generasi baharu serta permintaan agar harga rumah tersebut dikaji semula, saya telah mengarahkan Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada untuk menawarkan harga baharu rumah-rumah tersebut pada harga RM90,000 untuk pembelian secara jual-beli,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan terus menjulang agenda pemilikan rumah oleh rakyat khususnya di tanah-tanah rancangan Felda dan perkara itu akan terus disemarakkan.

“Adalah diharapkan jua, pengumuman ini dapat merealisasikan impian generasi baharu Felda khususnya di Parlimen Rompin untuk memiliki rumah idaman mereka,” kata beliau.

Semalam, calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin memohon perdana menteri supaya mengkaji semula harga kira-kira 18,000 rumah generasi kedua Felda di Rompin kerana harga antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit itu adalah di luar kemampuan golongan muda Felda. – BERNAMA

Loading...