Rumah Rentung Ketika Pemilik Keluar Mencari Kerja

KUALA TERENGGANU – Walaupun hasrat seorang suri rumah ingin mencari kerja terkubur, namun niatnya itu telah menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa kebakaran selepas rumahnya rentung pagi tadi.

Shelawati Abu Bakar, 31, keluar dari rumahnya di kampung Pulau Rusa pada pukul 8.15 pagi untuk menyerahkan borang permohonan kerja di sebuah kedai serbaneka di Chabang Tiga di sini.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan kira-kira 15 minit kemudian, dia mendapat panggilan daripada jirannya memaklumkan kejadian yang menyebabkan hampir 90 peratus rumahnya hangus terbakar.

“Belum sempat saya menyerahkan borang permohonan kerja, saya dikejutkan dengan berita kebakaran rumah saya kira-kira pukul 8.30 pagi tadi. Saya bergegas pulang dan terus menghubungi suami yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Setiu untuk pulang segera,” katanya ketika ditemui pemberita.

Shelawati berkata sebaik tiba, dia melihat api besar sedang membakar keseluruhan rumah yang didiami bersama suaminya Mohd Hishamuddin Ngah dan hanya sempat menyelamatkan sebuah kereta yang berada di perkarangan rumah.

Tambahnya, sebelum keluar, beliau telah memastikan kesemua plag telah ditutup dan menganggarkan kerugian lebih RM200,000.

Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Hasan Embong berkata sejurus menerima panggilan, seramai 13 kekuatan bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA