Rumah Putih Minta Pentagon Pilihan Serang Iran – WSJ

WASHINGTON – Rumah Putih menuntut tentera Amerika Syarikat (AS) menderaf pelan untuk menyerang Iran selepas serangan di Iraq tahun lalu, mencetuskan kebimbangan Pentagon dan Jabatan Negara, lapor akhbar The Wall Street Journal (WSJ) semalam.

Laporan berkata, tindakan itu dilakukan selepas serangan mortar dilancarkan sebuah kumpulan dikaitkan Iran ke atas kuarters diplomatik Baghdad yang menempatkan Kedutaan AS pada September lalu.

Bagaimanapun tiada siapa cedera dalam serangan itu yang mendarat di kawasan terbuka.

Namun Majlis Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih (NSC) bercadang membangunkan satu tindak balas tegas AS susulan serangan skala rendah itu, termasuk pilihan menyerang Republik Iran, lapor WSJ.

Ia menambah, NSC juga meminta pilihan dalam tindak balas menerusi serangan di Iraq dan Syria.

“Ia sudah pasti membimbangkan rakyat. Orang ramai terkejut. Ia tidak masuk akal betapa beraninya mereka mahu menyerang Iran,” kata seorang bekas pegawai pentadbiran kanan AS kepada WSJ.

Walaupun Jabatan Pertahanan sememangnya membangunkan cadangan untuk serangan mungkin, akhbar berkata, tidak jelas jika ia dikongsi bersama Rumah Putih.

Dalam satu mesyuarat NSC, timbalan penasihat keselamatan kebangsaan ketika itu, Mira Ricardel menyifatkan serangan di Iraq sebagai satu ‘tindakan perang’ dan menggesa satu tindak balas tegas AS.

Pihak berkuasa Pentagon bertegas, ia bukan sesuatu luar biasa buat Jabatan Pertahanan menggariskan pelan ketenteraan untuk Rumah Putih.

“Jabatan Pertahanan adalah satu organisasi perancangan dan menyediakan presiden pilihan ketenteraan untuk pelbagai ancaman,” kata seorang jurucakap Pentagon, Kolonel Rob Manning.

Katanya, aktiviti Pentagon termasuk “secara rutin menyemak dan mengemas kini pelan dan aktiviti untuk menangani siri ancaman termasuk dibawa Iran, untuk menghalang dan jika boleh, bertindak balas terhadap kekerasan.” – Agensi

Loading...