Rugi RM2 Juta Sawit Terbakar

PEKAN – FELCRA Berhad Wilayah Pahang kerugian lebih RM2 juta tahun lalu, apabila projek tanaman kelapa sawit kawasan paya gambut di ladang Serambi, di sini, musnah terbakar dalam beberapa kejadian.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kebakaran menjadi ancaman utama menyebabkan kerugian besar kepada FELCRA Berhad terutama membabitkan dua ladang di daerah ini dan Rompin.

Katanya, kes terbaharu di ladang Serambi berlaku minggu lalu apabila lebih 2,000 pokok sawit yang sedang mengeluarkan hasil musnah terbakar, namun tindakan pantas pekerja ladang berjaya mengawal api daripada terus merebak.

Beliau berkata, selain membina parit sempadan, usaha lain dilakukan untuk memastikan kebakaran tidak mudah merebak dengan menubuhkan pasukan tindakan awal (ERT) disetiap ladang.

“Ladang Serambi dan Ladang Anak Endau, Rompin sudah mempunyai pasukan ERT yang terdiri daripada pekerja ladang, mereka berpengalaman luas menjalankan aktiviti memadam dan mengawal kebakaran.

“Pasukan ERT yang mendapat latihan khas dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan tugas 24 jam menggunakan pelbagai peralatan bagi memastikan kebakaran tidak terus merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bersama FELCRA Berhad, Jabatan Alam Sekitar, JBPM dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang di ladang FELCRA Berhad Serambi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Pahang, Datuk Abdul Mutalib Tais.

Program sehari itu membabitkan aktiviti taklimat kebakaran hutan paya gambut oleh agensi terbabit, demontrasi memadam kebakaran oleh JBPM dan ERT serta pameran peralatan memadam kebakaran.

Zulkarnain berkata, kejadian kebakaran di kawasan paya gambut mudah berlaku setiap kali musim kemarau berpunca daripada kecuaian manusia dan usaha memadam api agak sukar hingga mengambil masa panjang.

Selain memiliki pasukan ERT terlatih dan berpengalaman, beliau berkata, FELCRA Berhad Wilayah Pahang turut menyediakan peralatan lengkap seperti enjin pam air dan gelung hos.

“FELCRA Berhad Wilayah Pahang mempunyai ladang sawit dalam kawasan paya gambut seluas lebih 5,000 hektar membabitkan ladang Serambi dan Ladang Anak Endau.

“Setiap tahun kawasan terbabit terdedah dengan kejadian kebakaran.

“Usaha kesedaran dalam kalangan pekerja ladang dan penduduk setempat serta masyarakat Orang Asli untuk bekerjasama memastikan kebakaran tidak berlaku dilakukan dari semasa kesemasa,” katanya. – BH Online

Loading...