Rosmah Tak Beli Pun Barang Kemas – Peguam

DATIN Seri Rosmah Mansor menegaskan bahawa semua barangan kemas yang dituntut oleh syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan hanya dihantar kepadanya untuk diperlihatkan bagi pertimbangan bagaimanapun tiada sebarang pembelian dibuat.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh peguam Datuk M Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram bagi pihak isteri bekas Perdana Menteri itu.

“Kami merujuk kepada laporan media mengenai saman sivil yang difailkan Global Royalty Trading Sal terhadap anak guam kami.

“Terdapat dakwaan yang tersebar bahawa barang kemas yang disenaraikan oleh syarikat itu dibeli dan menggunakan wang yang dicuri. Tuduhan itu adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Kami akan mengambil tindakan yang diperlukan bagi melindungi kepentingan anak guam,” katanya.

Berhubung kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang meminta pihaknya mengemukakan permohonan rasmi bagi dapat kembali barangan yang disita, dua peguam itu membangkitkan beberapa isu.

“Serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilakukan di tiga lokasi dan semuanya dijalankan tanpa kehadiran anak guam kami. Senarai carian tidak ditunjukkan kepada Rosmah sebaik sahaja semua proses itu selesai.

“Bagi pihak anak guam, kami sudah memohon kepada pihak PDRM, meminta senarai carian itu bagaimanapun permintaan kami ditolak. Kami sudah merayu supaya polis mengkaji semula keputusan mereka, dan pada masa ini masih menunggu balasan,” katanya.

Kenyataan media itu turut menjelaskan bahawa Rosmah mahu melihat barangan yang disita bagi mengenal pasti barangan miliknya kerana ketika serbuan barang milik anak perempuan dan menantunya turut dirampas.

“Bagi keadilan Rosmah wajar diberi kebenaran untuk mengenal pasti harta benda dan barangan miliknya.

“Kami berharap, PDRM bersikap adil terhadap anak guam kami dan semua proses dipatuhi mengikut peruntukan sewajarnya,” katanya.

Pagi tadi, Pejabat Peguam Negara mengemukakan permohonan menjadi pencelah dalam kes saman syarikat pemborong barang kemas itu terhadap Rosmah yang menuntut 44 barang kemas dipulangkan semula atau membayar ganti rugi RM59.8 juta (AS$14.8 juta).

Mereka mengemukakan permohonan itu atas alasan barang kemas itu adalah milik kerajaan dan kononnya dibeli menggunakan wang yang dicuri.

Pada 26 Jun lalu, Global Royalty Trading Sal selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Rosmah sebagai defendan melalui Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Plaintif adalah pemborong barang kemas terkenal antarabangsa yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan dari seluruh dunia.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Rosmah didakwa sebagai pelanggan tetap kepada plaintif dalam keadaan tertentu defendan ada meminjam beberapa barang kemas dan memulangkan semula.

Pada 10 Februari lalu, melalui serahan tangan, jurujual atau ejen Samer Halimeh dan Maen Shakhshir menyerahkan sebanyak 44 barang kemas kepada defendan.

Antara barang kemas termahal adalah sebentuk cincin berlian 16.50 karat berharga AS$925,000 (RM3.7 juta) dan paling murah di dalam senarai adalah subang berlian berharga AS$124,000 (RM497,164.96).

Defendan ada mengesahkan dan mengakui penerimaan barang itu melalui surat bertarikh 22 Mei 2018.

Plaintif mendakwa, defendan juga mengesahkan secara bertulis bahawa barang itu tidak lagi dalam milikannya tetapi sudah disita oleh pihak berkuasa Malaysia. – MyMetro

Loading...