Romelu Lukaku Cergas Sepenuhnya Hadapi Jepun

MOSCOW – Jurulatih Belgium, Roberto Martinez mengesahkan Romelu Lukaku cergas sepenuhnya untuk menghadapi Jepun pada pusingan kedua selepas mengalami kecederaan buku lali ketika mengatasi Tunisia minggu lalu.

“Lukaku cergas sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merehatkan peledak utama Manchester United itu bersama lapan tonggak lagi ketika menewaskan England 1-0.

Kemenangan itu memberi laluan lebih sukar kepada Belgium berbanding England namun Martinez enggan berbicara mengenai potensi berdepan bekas juara, Brazil pada suku akhir.

Beliau menjelaskan menewaskan England yang tampil dengan skuad simpanan memberikan keyakinan kepada mereka.

Ia turut memberikan peluang kepada Martinez untuk mencuba dua pertahanan utama yang mengalami kecederaan selama beberapa minggu.

Martinez menegaskan Thomas Vermaelen masih mengalami masalah penglihatan susulan insiden kelmarin namun akan kembali cergas sepenuhnya menjelang pertemuan Isnin ini.

Beliau turut menyatakan Vincent Kompany yang diturunkan selama 20 minit turut cergas namun masih belum jelas sama ada dia berada pada tahap terbaik bagi aksi kompetitif untuk disenaraikan dalam aksi menentang Jepun. – Reuters

Loading...