Rohingya: Timbalan Ketua Pemuda PAS Akui Kerajaan Tersepit

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi mengakui kerajaan sebenarnya tersepit dalam isu pelarian Rohingya.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia tersepit disebabkan percaturan media barat memainkan isu ‘Human Traficking’ sebagai alasan untuk mendesak Malaysia menerima pelarian tersebut.

“Media barat bersikap adu domba apabila memainkan isu ‘Human Traficking’ sebagai alasan dan desakan ke atas negara umat Islam Asean iaitu Malaysia dan Indonesia untuk menerima pelarian-pelarian Rohingya.

“Sedangkan negara Asean lain dibela kononnya tidak berupaya menerima pelarian tersebut khususnya Thailand,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Justeru, Muhammad Khalil berkata, Malaysia yang merupakan Pengerusi Asean perlu mengambil langkah proaktif untuk menyuarakan tindakan konkrit bagi menyelesaikan itu tersebut.

Katanya, Malaysia perlu segera menggerakkan peranan lebih agresif mengetuai semua negara Asean untuk menyelamatkan umat Islam Rohingya atas tanggungjawab kemanusiaan.

Tambah beliau, kerajaan Malaysia perlu mendesak masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya memberikan hak kepada umat Islam Rohingya dan menghentikan pencabulan hak ke atas mereka.

“Jika Malaysia boleh menghantar kekuatan tentera berkhidmat sebagai pasukan pengaman di Somalia, Lubnan, Bosnia dan lain-lain negara yang jauh, sewajarnya Malaysia perlu menawarkan diri ke Myanmar,” katanya. – mynewshub.cc

 

Loading...