RM2j Tambahan Untuk PPRT, Baik Pulih Rumah Di Sabah

KOTA KINABALU – Kerajaan pusat akan menambah RM2 juta peruntukan bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan membaik pulih rumah rakyat di Sabah untuk tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun berkata peruntukan tambahan itu menjadikan baki peruntukan tahun ini bagi tujuan itu sebanyak RM18 juta kepada RM20 juta.

“Walaupun ada kekangan kewangan negara, kami perlu imbangkan keadaan kewangan dengan keperluan rakyat.

“Namun, ada beberapa projek pembangunan terdahulu yang akan diteruskan yang mengutamakan permintaan mendesak rakyat seperti PPRT, bekalan air dan elektrik serta jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandara Sabah Ewon Benedick.

Sebelum ini, kerajaan pusat terdahulu melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memperuntukkan RM66 juta bagi PPRT dan membaik pulih rumah di Sabah, yang RM48 juta telah dibelanjakan.

Mohd Shafie menyambut baik kerjasama antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan dan kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Katanya, kerajaan negeri memberi sokongan penuh kepada kerjasama itu untuk memastikan kepentingan rakyat di negeri ini, khususnya di luar bandar, sentiasa diutamakan. – BERNAMA

Loading...