Restoran Membiak Lipas Didenda RM3,000

KUALA LUMPUR – Pengurusan sebuah restoran didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana gagal memastikan tahap kebersihan restoran itu sehingga menjadi tempat pembiakan lipas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Milenium Jutamas Sdn Bhd yang mengendalikan Restoran Boston Group, selepas pengarah syarikat itu Chang Chung Fei, 42, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu gagal memastikan restoran berkenaan di Viva Home, Jalan Loke Yew di sini bebas daripada makhluk perosak itu.

Mengikut fakta kes, pegawai kesihatan telah melakukan pemeriksaan kebersihan terhadap premis itu pada 12.30 tengahari 21 Jun tahun lepas di bawah Akta Makanan 1983 dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat lipas seperti yang dilaporkan oleh pelanggan yang pernah berkunjung ke situ.

Syarikat itu dituduh mengikut Peraturan 11(1)(a) dibaca bersama Peraturan 16(1) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum atas alasan restoran tersebut telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dan itu kesalahan kali pertama, manakala pegawai pendakwa dari Pejabat Kesihatan Cheras, Humaam Ab Rahim, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira kepentingan kesihatan orang awam.

OKS membayar denda tersebut. – BERNAMA

Loading...