Resepi Kuah Kacang Ayam “Paling Padu” Untuk Pagi Raya

BILA tibanya hari raya Aidilfitri, perkara paling dinanti-nantikan mestilah waktu untuk menikmati pelbagai juadah enak seperti ketupat, lemang, rendang, lontong dan bermacam-macam lagi.

Ermm.. bila cakap sahaja nama- nama makanan hari raya, kita sendiri boleh kecur air liur jadinya!

Oleh itu, kesempatan ini kami kongsikan satu resepi mudah yang juga merupakan juadah wajib yang menjadi resepi turun-temurun keluarga penulis ketika menjelang hari raya.

Nama resepi ini adalah “Kuah Kacang Ayam Paling Padu Untuk Pagi Raya”.  Juadah ini memang gerenti jilat jari punya!

154145_1745646967245_1420893710_1868750_3741266_n

Lagi-lagi kalau dimakan dengan lontong dan nasi impit. Perghhh.. memang terangkat lah!

Bahan bahan
1 ekor ayam – potong
1/2 kg kacang tanah
1 cawan cili kisar – 25 tangkai cili kering
1 gelas air asam jawa – dari 1 kepal asam jawa
3/4 cawan gula pasir
1 keping gula Melaka
2 sudu besar garam halus
3/4 cawan minyak

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
4 batang serai

Cara-caranya:
1. Kacang tanah disangai tanpa minyak.

2. Kemudian, buangkan kulit dan dikisar tidak terlalu hancur.

3. Masukkan kacang kisar ke dalam periuk dan tuang sedikit air. Masak dengan api perlahan sehingga kacang kembang. Ianya bertujuan supaya kacang tanah tidak menyerap perisa kuah kacang dan kuah tidak menjadi cepat kering.

4. Tumis bahan kisar sehingga garing, masukkan cili giling, goreng lagi hingga cili benar benar masak.

5. Masukkan ayam dan kacau rata.

6. Setelah keluar minyak, masukkan sedikit air, air asam jawa, gula, gula Melaka, garam dan masak sehingga mendidih dan sedikit pekat.

7. Akhir sekali, masukkan kacang tanah yang telah direbus. Masak dengan api perlahan. Sesuaikan rasa dan kepekatannya. Kalau pekat, tambah air panas.

Selamat mencuba!

IMG_0565 (1)

Oleh: CARRIE

 

Loading...