Remaja Australia Mengaku Salah Godam Jaringan Apple Inc

SYDNEY – Seorang remaja Australia mengaku bersalah menggodam jaringan komputer utama milik gergasi teknologi, Apple Inc, memuat naik fail dalaman dan mengakses akaun pelanggan, semata-mata kerana dia adalah peminat tegar syarikat berkenaan.

Akhbar tempatan dikenali sebagai The Age melaporkan, remaja lelaki berusia 16 tahun itu menggodam syarikat terbabit yang berpangkalan di Amerika Syarikat beberapa kali sepanjang lebih tahun dari rumahnya di pinggir bandar.

Dia turut memuat turun fail keselamatan sebesar 90 gigabait dan mengakses akaun pelanggan tanpa mendedahkan identitinya.

“Apabila Apple menyedari pencerobohan itu, mereka menghubungi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang kemudian memanjangkan perkara itu kepada Polis Persekutuan Australia (AFP),” kata akhbar berkenaan, memetik kenyataan dibuat di dalam mahkamah.

AFP ketika dihubungi enggan mengulas kes terbabit kerana perkara itu sudah menjadi kes mahkamah.

Wakil Apple di Australia juga gagal dihubungi bagi mendapatkan keterangan berhubung kes berkenaan.

Menurut laporan The Age lagi, serbuan AFP ke atas kediaman remaja itu menemui dua komputer riba, telefon bimbit dan cakera keras yang menyerupai pencerobohan dilaporkan oleh Apple.

“Kesemua dokumen yang sulit disimpan dalam sebuah fail khas dikenali sebagai ‘hacky hack hack’,” kata laporan itu. – Reuters/BH ONLINE